Sunday, December 4, 2011

Pendidikan Muzik Semasa Penjajahan

Jelas bahawa sistem pendidikan muzik seperti yang wujud pada masa kini mempunyai banyak ciri yang telah diwarisi daripada sistem pendidikan yang telah diwujudkan pada zaman British. Hakikat ini tidak dapat disangkal kerana pihak British telah berusaha dengan sengaja untuk memberikan satu gambaran kepada rakyat Malaya tentang keunggulan dan kehebatan idea-idea British dalam semua aspek kehidupan rakyat kita seperti pendidikan, undang-undang, perubatan, pentadbiran am dan politik. Bermula pada tahun 1816 maka Penang Free School dibuka dan daripada detik inilah diikuti dengan pembukaan beberapa buah sekolah Inggeris lain di Perak, Melaka, Kuala Lumpur, dan di beberapa lokasi lain. Sejajar dengan pembukaan sekolah tersebut telah “membawa bersama” pembelajaran muzik seperti koir dan pancaragam sebagai antara aktiviti kokurikular pada masa tersebut.

     Selain itu juga, nyanyian lagu puisi berirama kanak-kanak turut diadakan setiap kali semasa pembelajaran matapelajaran Bahasa Inggeris. Pada masa ini, pihak yang berkuasa telah menentukan bahawa setiap sekolah Inggeris mempunyai sekurang-kurangnya seorang guru yang mahir bermain piano atau mempunyai latar belakang formal dalam sistem muzik barat. Selain itu, nyanyian lagu kanak-kanak, seriosa atau rakyat dari Barat juga turut diadakan semasa pembelajaran Bahasa Inggeris supaya amalan sebegini akan mengukuhkan lagi pembelajaran Bahasa Inggeris. Jelas bahawa pembelajaran muzik pada peringkat ini hanya tertumpu kepada sekolah-sekolah vernakular beraliran Inggeris. Manakala sekolah vernakular, Melayu, Cina dan India begitu ketinggalan dalam aspek ini.

     Semasa zaman pentadbiran tentera Jepun, pengajaran muzik telah diadakan di sekolah-sekolah Malaya tetapi pada masa ini para pelajar dikehendaki menyanyikan lagu-lagu patriotik seperti lagu “Komigayu” dan rakyat daripada negara Jepun. Pada masa pentadbiran tentera Jepun, sukatan mata pelajaran juga berdasarkan Dasar Pelajaran Jepun. Namun pemerintahan Jepun itu sendiri tidak meninggalkan sebarang kesan yang jelas dalam sistem muzik Malaysia yang wujud pada masa sekarang. Ini kerana selepas Jepun berundur dari Tanah Melayu selepas Perang Dunia Ke II sistem pendidikan yang pernah wujud sebelum perang itu diamalkan semula apabila pihak British kembali memerintah Malaya. Pada masa ini kita dapat melihat bagaimana para pelajar dikehendaki menyanyikan lagu-lagu rasmi negeri berkenaan dan lagu kebangsaaan Britian iaitu God Save The Queen dalam upacara perhimpunan sekolah terutamanya di sekolah-sekolah Inggeris.

     Perkembangan pendidikan muzik di Malaysia begitu ketara terutama sekali selepas zaman penjajahan berakhir. Pada tahun 1950-an, pelajaran muzik dalam bentuk siaran ke sekolah-sekolah telah dimulakan oleh Radio Malaya tetapi hanya di sekolah-sekolah di bandar yang berupaya mengadakan kemudahan radio dapat mengikuti siaran ini. Pada masa ini, para pelajar dari kelas-kelas tertentu dikehendaki menuju ke dewan sekolah bagi mengikuti siaran tersebut. Juga, pada masa tersebut para pelajar sudah mula bermain alat-alat genderang sebagai aktiviti sampingan untuk nyanyian di beberapa buah sekolah Inggeris yang tertentu.

     Selain itu, aktiviti meniup rekoder juga telah diadakan di beberapa buah sekolah, khasnya di kawasan bandar-bandar utama. Beberapa buah sekolah Inggeris telah mula menubuhkan pancaragam kawat atau brasben. Kebanyakkan pancaragam ini telah dilatih oleh ahli atau bekas ahli pancaragam tentera. Amalan ini wujud kerana guru-guru muzik yang terlatih daripada maktab-maktab perguruan di Malaysia masih belum menerima latihan dalam aspek mengendalikan aktiviti pancaragam kawat. Kumpulan-kumpulan koir, rekorder dan pancaragam kawat sentiasa dikehendaki membuat persembahan dalam majlis-majlis tertentu dalam takwim sekolah seperti Hari Ucapan, Hari Sukan dan apabila sekolah dilawati oleh orang kenamaan. Namun perkembangan sebegini begitu jarang dinikmati oleh golongan pelajar di sekolah-sekolah luar bandar.

     Dengan kewujudan kumpulan-kumpulan muzik seperti ini telah dapat menaikkan imej dan nama sekolah yang berkenaan. Tradisi ini sudah diamalkan oleh sekolah-sekolah Inggeris daripada awal abad ke 20 lagi. Hampir kesemua sekolah berasrama penuh yang ditubuhkan kemudian seperti Maktab Tentera Diraja, Kolej Tunku Khursiah, Kolej Tun Fatimah, Kolej Melayu dan Sekolah Dato Abd Razak juga telah mengadakan semua aktiviti muzik tersebut.

No comments:

Post a Comment